Wednesday, January 12, 2011

CATATAN : MasyaAllah...cerita anak seorang Tabligh





Sebuah Catatan Dari Group SIM

Disini saya hendak bercerita sedikit tentang ayah saya yang juga seorang karkun
atau tabligh. Hanya tuan-tuan sahaja yang dapat membuat kesimpulan dengan apa
yang terjadi. Kisah ini hanya sebagai renungan kita bersama sementara masih hidup.

Pada 1 mei 2009 yang lepas ayah saya baru sahaja meninggal dunia di Hospital
Kuala Lumpur kerana menghidap penyakit kencing manis dan juga ulser perut. Saya
hanya mempunyai 2 orang adik yang masih lagi belajar. Adik saya yang pertama masih
lagi menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi dan yang kedua pula masih bersekolah
di tingkatan lima manakala ibu pula sudah lama meninggal dunia pada tahun 1997.
Saya pula berumur 23 tahun dan bekerja di sebuah syarikat swasta sebagai pembantu
teknik. Sejak kematian ibu ayahlah yang menjaga dan mendidik kami dengan penuh
kasih sayang.

Walaupun hanya bergantung kepada pencen ibu yang diterima setiap bulan dan
pendapatan ayah yang bekerja sebagai pembantu kedai tidak seberapa tapi kehidupan
kami tetap bermakna. Ayahlah satu-satunya yang kami ada. Walaupun kehidupan kami
tidak mewah tetapi dengan apa yang ada kami tetap bersyukur dan ayah masih lagi mampu
untuk menyara kami sekeluarga sehinggalah saya dapat belajar di intitusi pengajian
tinggi awam.

Ayah telah memberikan kami didikan agama yang cukup sempurna sejak dari kecil lagi.
Setiap kali selesai solat maghrib kami akan membaca taklim (Hadis) dirumah sementara
menunggu waktu isyak. Semua ini adalah hasil didikan ayah sejak kecil lagi kepada kami
adik-beradik hingga kini dan tidak pernah kami tinggalkan.

Walaupun ayah selalu keluar ke jalan ALLAH 3 hari setiap bulan dan 40 hari setiap tahun
iaitu selepas raya aidilfitri atau hujung tahun tetapi tanggungjawab sebagai seorang ketua
keluarga tidak pernah ayah abaikan. Walaupun seringkali meninggalkan kami sendirian
tetapi kami tetap redha kerana kami tahu ayah menjalankan tanggungjawabnya kepada
agama dan masyarakat. Kami percaya yang ALLAH akan membela dan memelihara kami
walaupun tanpa ayah. Saya juga seringkali mengikut jemaah keluar kejalan ALLAH bila ada
kelapangan walaupun semasa bergelar seorang penuntut.

Tetapi usaha yang ayah jalankan ini tidak mendapat sokongan dari ahli keluarga dan
saudara-mara yang lain kerana mereka menyagka yang ayah tidak bertanggungjawab kepada
anak-anak. Walaupun begitu ayah tetap tenang dan tidak mudah melatah dengan apa yang
ayah hadapi walaupun kutukan demi kutukan terus dilemparkan, ini kerana ayah telah
melakukan usaha ini sejak dari umur belasan tahun lagi. Ayah juga sering berpuasa di bulan
rejab, syaaban, ramdhan berturut-turut dan melakukan solat malam, tidak pernah ayah
tertinggal walau satu malam sekali pun, selesai solat ayah akan memanjatkan doa kepada
ALLAH S.W.T meminta pertolongan, bantuan dan memohon kepada ALLAH agar anak-anaknya
menjadi seorang insan yang berguna dan tidak sekali-kali meninggalkan ibadah.

Setelah tamat pengajian saya telah dipanggil untuk ditemuduga bagi jawatan juruteknik
di sebuah syarikat yang menjalankan kerja-kerja bagi industry petroleum, gas dan petrokimia
sekali gus diterima bekerja. Saya terlalu bersyukur kepada ALLAH kerana memakbulkan doa
ayah selama ini dan saya tidak pernah menggangur setelah tamat pengajian. Berkat doa
ayah juga lah saya dapat mengecapi kejayaan pada hari ini. Setelah 2 tahun bekerja saya
telah dinaikan pangkat kepada pembantu teknik, walaupun begitu tidak pernah sekali pun
saya mengabaikan tanggungjawab saya sebagai seorang hamba kepada ALLAH dan anak.

Semasa ayah dimasukkan ke wad ICU di Hospital Kuala Lumpur ramai antara kenalan ayah
yang datang dari dekat mahupun jauh, ada antara mereka yang datang dari Jordan, Kuwait,
Pakistan dan Arab Saudi. Kesemua mereka adalah jemaah-jemaah Tabligh yang telah
sama-sama melakukan usaha di Malaysia. Mereka datang sebaik sahaja mendapat berita
yang ayah telah dimasukkan ke hospital walaupun baru hari kedua ayah dimasukkan ke wad.

Semasa diwad ICU ayah tidak pernah melakukan perbuatan yang pelik dan ayah tidak
pernah sekalipun meninggalkan solat lima waktu walaupun terpaksa baring diatas katil
hinggalah pada hari jumaat 1 may 2009 semasa sedang solat asar rakaat kedua secara
tiba-tiba ayah mula tidak sedarkan diri kerana luka pada usus telah berdarah kembali.

Semasa ayah sedang sakit pernah saya hendak mengahantar ayah untuk menerima rawatan
dihospital kerana penyakit kencing manis tetapi ayah menolak kerana susah untuk menunaikan
solat di sana. Walaupun ayah sakit ayah masih lagi mampu menunggang motorsikal untuk
menunaikan solat lima waktu di masjid dan masih lagi menjalankan usaha dengan keluar
3 hari.

Sebelum ayah mendapat penyakit kencing manis pada awal april 2009 ayah telah berniat
untuk keluar 40 hari ke jalan ALLAH untuk melakukan usaha tersebut dan ketika sakit
ayah tetap berkeras dengan keputusan yang dibuat. Bagi saya sebagai seorang anak saya
tiada hak untuk melarang ayah dari terus melakukan usaha malah saya berharap agar ALLAH
dapat memelihara ayah dari sebarang perkara yang tidak diingini. Saya redha jika ayah pergi
ketika melakukan usaha tersebut kerana mati dijalan ALLAH adalah mati syahid dan saya
bersyukur sekiranya ia terjadi. Tetapi belum sempat ayah melakukan usaha ALLAH terlebih
dahulu mengambil nyawanya.

Pada jam 2100 1 mei 2009 ayah telah punkembali kerahmatullah dengan cara yang paling
mudah yang ALLAH berikan. Ayah pergi dalam keadaan yang tenang. Saya sempat untuk
mengajar ayah mengucap dua kalimah syahadah walaupun tiada suara ayah kedengaran
tetapi dari raut wajah dan gerakan bibir telah membuatkan saya yakin yang ayah mendengar
apa yang saya ucapkan. Dengan airmata yang bergelinang dahi yang mula dibasahi peluh dan
ketenangan air muka ayah telah menghadap tuhan yang maha esa penghulu kepada langit
dan bumi di arasy ALLAH S.W.T. Segala urusan telah ALLAH permudahkan walaupun usaha
yang ayah lakukan tidaklah sebesar mana.

Semasa melakukan urusan untuk menuntut jenazah saya telah diberitahu yang segala
perbelanjaan rawatan dihospital telah pun dibayar sepenuhnya oleh seorang HAMBA ALLAH
begitu juga dengan urusan pengkebumian dan tahlil segalanya telah diuruskan oleh orang
perseorangan yang tidak saya kenali. Keesokan paginya ramai kenalan ayah yang hadir
untuk menziarah tidak kira dari dalam dan luar negara jauh mahupun dekat. Pelajar-pelajar
tahfiz juga turut sama hadir.

Keesokan paginya semasa urusan memandikan jenazah terdapat darah yang mengalir dari
luka akibat proses hemodalisis. Darah tersebut cukup sifatnya dan merah mengalir keluar
dari tubuh ayah. Sedang saya sibuk menggosok badan ayah, seorang tukang mandi yang
saya cukup kenali sebagai berkata sesuatu kepada saya.

“Bapak kau ni tengah tidur ke? tanya Wak.

Saya tidak dapat melayan pertanyaan wak kepada saya kerana sedang sibuk memandikan
jenazah ayah.

“Ko pakai minyak atar ke ni?, Tanya wak lagi.

“Mana ada, mandi pun belum lagi ni wak. Kalau minyak atar tu ada la di rumah. Minyak
atar kasturi ayah punya”, Jawap saya.

“Hah! Ni bau kasturi la ni”, balas wak kepada saya.

Saya terus mendiamkan diri dan menyambung kerja saya semula. Dalam hati saya berkata.

“Betul juga apa yang wak ni cakap, dari tadi lagi aku bau semacam je. Macam bau badan
ayah masa nak ke masjid untuk solat berjemaah pula”

Selepas solat zohor saya terus melakukan solat jenazah bersama-sama dengan jemaah yang
lain dan apa yang saya dengar solat jenazah ini terlalu ramai dari bahagian tengah masjid
hingga ke bahagian belakang saf lelaki. Selepas itu jenazah terus dibawa ke kawasan
perkuburan islam Jalan Ampang untuk dikebumikan dan sekali lagi perkara yang pelik berlaku
semasa menurunkan jenazah ke dalam liang lahad dimana lima orang boleh muat untuk turun
kebawah sedangkan badan kami besar dan laing lahad hanya berukuran tujuh kaki lebar.

Semasa jenazah ayah dibawa turun dapat saya rasakan yang beratnya terlalu ringan seolah-olah
sedang memeluk kapas. Sekali lagi perkara pelik terus berlaku semasa bilal sedang membca
talkin hadirin yang hadir tercium bau yang semerbak harum bak kasturi dan saya sendiri turut
sama mencium bau tersebut. Selesai sahaja urusan pengkebumian ramai kenalan yang hadir
bertanyakan soalan kepada saya tentang apa yang berlaku semasa di tanah perkuburan dan
persoalan itu masih tidak dapat saya jawap hingga hari ini. Hanya ALLAH S.W.T sahaja yang
mengetahui apa yang berlaku.

Bagi saya setiap amalan kita didunia pada hari ini akan menjadi pertimbangan kita diakhirat kelak.
Jika didunia ALLAH ingin menunjukan kepada kita atas perbuatan kita maka ianya akan berlaku
inikan pula di akhirat. InsyaALLAH tuan-tuan apa yang berlaku kita jadikan iktibar buat diri kita
dan renungan kita bersama. Saya tidaklah pandai menulis dan berkata-kata apatah lagi bila
berbicara soal agama, saya juga seperti tuan-tuan insan yang lemah disisi ALLAH S.W.T. segala
apa yang saya ceritakan adalah kisah benar dalam hidup saya dan ianya bukanlah nukilan
semata-mata. Terpulang pada tuan-tuan semua untuk menilainya. Walaupun ayah telah tiada
tetapi saya berniat dalam hati saya kerana ALLAH S.W.T saya akan meneruskan usaha yang
dilakukan oleh ayah."

No comments:

Post a Comment