Monday, October 29, 2012

Hukum dan Fadhilat Korban


1. Apakah hukum melakukan ibadah korban?
J: Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Hukum menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Eidul Adha atau Hari Raya Korban ke atas umat Islam yang mampu ialah sunat muakkad dan meninggalkannya adalah makruh.
Allah S.W.T berfirman;
“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”. – Surah al-Kautsar: ayat 2
Mengikut tafsiran ulama maksud solat atau sembahyang pada ayat ini ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban.
2: Apakah dalil yang mensyariatkan ibadah korban?
J: Dalil yang mensyariatkan ibadah korban ialah firman Allah S.W.T.;
“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”. – Surah al-Kautsar, ayat 2. Maksud solat ataupun sembahyang pada ayat ini ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban. Imam Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut seperti berikut:
“Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah semata dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai tanda syukur terhadap apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya”. Wallahuaklam
3: Apakah kelebihan melaksanakan ibadah korban?
J: Banyak sekali hadis yang menerangkan akan kelebihan korban, ia antara ibadah yang mendapat ganjaran yang amat besar daripada Allah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim. Wallahuaklam
4: Apakah hikmah korban?
J: Hikmah sebenar sesuatu ibadah hanya Allah S.W.T. sahaja yang tahu. Walau bagaimanapun ibadah korban yang menjadi amalan umat Islam sekarang mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan peristiwa korban di antara Nabi Ibrahim A.S. dengan anaknya Nabi Ismail A.S. Maka dengan melihat kepada peristiwa tersebut beberapa hikmah dapat disimpulkan;
  1. Ia menguji kekuatan iman dan keteguhan mental orang yang berkorban.
  2. Supaya orang yang berkorban dapat menjauhkan diri daripada sifat terlalu sayangkan harta dan kedekut dengan harta yang Allah S.W.T kurniakan kepadanya.
  3. Berkongsi merasai nikmat Allah S.W.T dengan golongan yang kurang bernasib baik atau miskin.
  4. Membudayakan dalam masyarakat salah satu syiar Islam iaitu berkorban.
  5. Wallahuaklam
5: Adakah ibadah korban dilakukan pada zaman Nabi-nabi yang terdahulu dan bagaimana ia dilaksanakan?
J: Mengikut riwayat yang boleh kita perolehi amalan ibadah korban telah dilaksanakan dari zaman Nabi Adam A.S lagi sehingga zaman Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Secara ringkasnya sejarah perlaksanaannya adalah seperti berikut;
Pada zaman Nabi Adam A.S, peristiwa korban Habil dan Qabil menunjukkan betapa korban memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan hidup manusia. Kisah mereka telah dinukilkan di dalam al-Quran surah al-Maidah, ayat 27.
Maksud Ayat: “Dan bacakanlah kepada mereka berita tentang dua anak Adam iaitu Habil dan Qabil dengan benar, ketika anak Adam itu mempersembahkan korbannya, maka Allah menerima korban salah seorang dari keduanya iaitu Habil dan tidak diterima korban yang seorang lagi iaitu Qabil. Qabil berkata: Aku pasti membunuhmu? Habil berkata: “Sesunguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa”.
Pada zaman Nabi Nuh A.S pula, setelah peristiwa taufan berlaku, Nabi Nuh menyediakan satu tempat khas untuk korban. Ada riwayat yang mengatakan bahawa haiwan korban tersebut dibakar.
Manakala pada zaman Nabi Ibrahim A.S, korban bermula dengan roti dan sebagainya, kemudian anak sapi, kambing dan biri-biri. Peristiwa penyembelihan anak Nabi Ibrahim iaitu Nabi Ismail ialah ujian pengorbanan yang paling getir dihadapi oleh Nabi Ibrahim A.S. Kisah ini telah Allah rakamkan dalam al-Quran surah Ash-Shaffat, ayat 103-107.
Pada zaman Nabi Musa A.S, cara korban ialah dengan membahagikan binatang yang disediakan untuk korban kepada 2 bahagian, sebahagian dilepaskan dan sebahagian lagi disembelih.
Budaya dan amalan berkorban ini berterusan sehingga ke zaman bangsa Yunani dan Rumani, pada umumnya mereka membahagi-bahagikan daging korban kepada orang yang hadir. Semasa upacara penyembelihan, pendeta mereka memercikkan madu dan air, kemudian madu diganti dengan air mawar. Adat ini terdapat sampai sekarang. Di samping bangsa Yunani, korban dengan melakukan penyembelihan terhadap manusia juga berlaku, ini dilakukan oleh bangsa Finiki, Parsi, Rom dan bangsa Mesir kuno. Wallahuaklam
6: Siapakah yang dituntut untuk melaksanakan korban?
J: Menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Korban dianjurkan ke atas seluruh umat Islam, akan tetapi tuntutan sebenar ialah kepada yang mampu, sehingga Rasulullah S.A.W memberi amaran dalam beberapa buah hadis kepada mereka yang tidak menunaikan ibadah korban, antara hadis tersebut ialah;
Maksud hadis, “Sesiapa yang mempunyai kelapangan (mampu), tetapi tidak berkorban, janganlah ia mendekati tempat solat kami.” Wallahualam
7: Apakah jenis korban yang dilarang oleh Islam?
J: Korban yang diamalkan oleh seluruh umat Islam pada setiap tahun diniatkan hanya kerana Allah S.W.T, dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T di samping mendapat ganjaran lain yang telah Allah S.W.T janjikan.. Oleh itu, mana-mana korban atau penyembelihan yang diniatkan kepada selain Allah S.W.T, seperti korban yang dilakukan untuk memuja sesuatu, atau untuk tujuan ilmu hitam, memuja syaitan dan sebagainya, serta tidak bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan ganjaran yang disediakan, maka ia adalah dilarang oleh Islam.
Wallahualam

Sumber: http://epondok.wordpress.com/

Amalan ziarah Eid Adha Jemaah Surau Abu Hanifah
















Monday, August 6, 2012

Persoalan manusia semua ada jawapan dlm Al Quran

Soalan 1: Kenapa Aku Diuji?

Al Quran Menjawab: 
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan, kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta." (Surah al-Ankabut ayat 2-3).


Soalan 2 : Kenapa Aku Tidak Dapat Apa Yang Aku Idam-Idamkan?
Al Quran Menjawab:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui".
(Surah al-Baqarah ayat 216)

Soalan 3: Kenapa Ujian Seberat Ini?

Al Quran Menjawab:
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya".
(Surah al-Baqarah ayat 286)

Soalan 4: Kenapa Kita Rasa Kecewa?

Al Quran Menjawab:
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman".
(Surah Ali Imran ayat 139)

Soalan 5: Bagaimana Harus Aku Hadapi Kesusahan Ini?

Al Quran Menjawab:
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk".
(Surah al-Baqarah ayat 45)

Soalan 6: Kepada Siapa Aku Berharap?

Al Quran Menjawab:
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakal".
(Surah at-Taubah ayat 129)

Soalan 7: Apa Yang Aku Dapat Daripada Semua Ujian Ini?

Al Quran Menjawab:
"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka".
(Surah at-Taubah ayat 111)

Soalan 8: Aku Tidak tahan dengan ujian ini!

Al Quran Menjawab:
"...dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir".
(Surah Yusuf ayat 12)

Soalan 9: Sampai bila aku Akan Merana?

Al Quran Menjawab:
"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan".
(Surah al-Insyirah ayat 5-6)

KESIMPULANNYA

Firman Allah maksudnya :
"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".
(Surah Al-Hadid ayat 22)

Dalam Ayat yang lain Allah berfirman maksudnya :
"Tidak luput daripada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar daripada itu melainkan (semuanya tercatat) dalam kitab yang nyata (loh mahfuz). "
(Surah Yunus ayat 61)



Link *

Sunday, August 5, 2012

Tazkirah Subuh VID-20120805-00007.MP4



Tazkirah Subuh oleh Ustaz Lufti di Surau Abu Hanifah,Apt dahlia,Bkt Beruntung,Selangor.
17 Ramadhan 1433H